ZIKRA: BERKONGSI PENGALAMAN AGIHAN DENGAN UNITEN



Shah Alam – Hampir 50 orang peserta dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menyertai Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA) yang diadakan buat kali ketiga pada tahun ini.

Program ini bertujuan untuk berkongsi usaha yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam membangunkan asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Program bermula dengan taklimat ringkas dan sesi lawatan ke kaunter zakat di ibu pejabat sebelum para peserta dibawa melawat ke nurseri milik bekas asnaf LZS, Sakilla Hanis Mohamed. Beliau kini merupakan usahawan asas tani yang meningkat naik.

Destinasi berikutnya adalah di Kompleks Asrama Anak-Anak Asnaf yang terletak di Klang. Asrama ini dibina bagi menyediakan prasarana pendidikan kepada anak-anak asnaf dalam kondisi yang lebih baik dan kondusif. Kemudian, para peserta melawat Pusat Dialisis MAIS di Batu 4, Jalan Kapar, Klang menempatkan pesakit yang mendapat rawatan hemodialisis di bawah bantuan LZS.

Seterusnya, para peserta dibawa ke penempatan berkelompok Desa Ehsan Sungai Nibong, Sungai Besar. Di sini, para peserta berpeluang meninjau penempatan tersebut, selain mengunjungi rumah salah seorang asnaf, Zainab Yaakob. Beliau merupakan pengusaha popia mini yang mendapat bantuan ekonomi dari LZS di samping bantuan zakat lain.

Lawatan diteruskan ke Pusat Kegiatan Ekonomi Bengkel Jahitan D’Asnaf Anggun. Di sini, para peserta berpeluang melihat kerancakan beberapa pekerja yang diambil daripada golongan asnaf sibuk menyiapkan pakaian sekolah untuk sesi persekolahan 2012 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Sebelum pulang, para peserta singgah menikmati cendol yang diusahakan oleh bekas asnaf LZS, Burhan Salikon di Kuala Selangor.
Semoga perkongsian dalam program ini dapat membuka mata para peserta dengan usaha pengagihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS terutamanya dalam membangunkan asnaf fakir dan miskin di Selangor.