ZIKRA BERJAYA DEDAH MAKLUMAT AGIHAN ZAKAT



SHAH ALAM, 10 JUN – Bagi memahami dan berkongsi usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam membangunkan asnaf zakat terutamanyafakir dan miskin, 100 orang peserta dibawa menyelami usaha LZS melalui Program Ziarah Asnaf Bersama Korporat dan Media (ZIKRA) pada 7 Jun lalu.

Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada para pembayar zakat, ejen kutipan dan pihak media berpeluang melihat sendiri kehidupan asnaf zakat daripada dekat. Lawatan bermula dengan pelancaran konvoi oleh Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Kutipan, LZS, Adibah Abdul Wahab di Wisma MAIS, Seksyen 3 di sini.

Lokasi pertama lawatan ialah di Pusat Latihan Asnaf Zakat diikuti Pusat Dialisis di Wisma MAIS.

Seterusnya, para peserta dibawa melawat ke asrama terbesar anak asnaf di Selangor iaitu di Kg. Perepat Klang yang dikenali sebagai asrama Baitul Hasanah. Asrama yang boleh memuatkan sehingga 288 pelajar ini dibangunkan bertujuan menyediakan prasarana pendidikan kepada kalangan anak asnaf dalam kondisi yang lebih baik dan kondusif. Ia lengkap dengan kemudahan bilik bacaan, surau, ruang makan dan sebagainya. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh Mohamad Rodhi, Penyelia Baitul Hasanah bagi berkongsi maklumat mengenai pembangunan asrama dan kejayaan pelajar di sini.

Lokasi diteruskan ke rumah Mohzain Ali, 48 di Rantau Panjang, Klang. Mohzain merupakan asnaf miskin yang menerima bantuan pembinaan rumah baru. Melalui kunjungan ke rumah Mohzain ini, peserta dapat melihat sendiri bentuk dan kualiti rumah yang dibina oleh LZS yang bernilai RM38,000.00.

Seterusnya peserta dibawa melawat ke Pangsapuri Barakah di Subang Bistari. Pangsapuri Barakah merupakan penempatan berkelompok bagi keluarga asnaf yang tidak mempunyai rumah. Mereka ditempatkan sementara di sini bagi membolehkan mereka mencari tempat tinggal yang baru. Sehingga kini LZS mempunyai 180 buah unit rumah di lapan buah pangsapuri seluruh Selangor. Daripada jumlah itu 100 unit rumah terletak di Pangsapuri Barakah, Subang Bistari ini dan 30 unit daripadanya telah pun diduduki. Peserta turut di bawa melawat ke empat buah rumah asnaf di sini.

Acara kemuncak Program ZIKRA ialah majlis Perasmian Penutup yang sekali lagi disempurnakan oleh Adibah. Di majlis perasmian penutup ini, sebanyak RM98,350.00 diagihkan kepada sepuluh orang asnaf zakat Daerah Petaling. Antara penerima bantuan ialah Mohd Razali Md Bahari menerima bantuan rawatan dialisis berjumlah RM20,520.00, Nur Hafiza Ahmad Dayar menerima bantuan CAPD sebanyak RM22,500.00 dan Radzuan Usat menerima bantuan modal perniagaan berjumlah RM20,000.00.

Salah seorang peserta, Aris Fadlillah Abdul Samad, dari Perodua Manufacturing merasa gembira mengikuti program ini. “Alhamdulillah, setelah mengikuti Program ZIKRA ini saya berasa yakin dengan agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS. Saya menyeru, bersama-samalah kita memanjangkan dakwah zakat agar lebih ramai lagi masyarakat menunaikan zakat,” katanya.

LZS berharap Program ZIKRA ini dapat mendedahkan kepada para peserta terutamanya kepada pembayar zakat dan rakan-rakan media mengenai usaha LZS dalam membangunkan asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Beberapa sumbangan turut diterima daripada peserta ZIKRA disampaikan kepada asnaf semasa sesi lawatan antaranya daripada Produa Manufacturing, Funcel Sdn Bhd, Bank Islam, Bank Muamalat, Grup Buku Karangkraf, Utusan Publication, Puncak Semangat Technology Sdn Bhd dan dan sebagainya. Sementara itu, program ZIKRA ini turut mendapat kerjasama Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) yang mengadakan pameran dan pemeriksaan kesihatan penduduk di sini. Lembaga Tabung Haji Selangor dan Bank Muamalat turut membuka kaunter masing-masing.