‘ZIARAH KORPORAT’ KE SYARIKAT SATE KAJANG HJ SAMURI



BANGI, 28 September 2012 – Bagi mengeratkan lagi siraturrahim di antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan pembayar zakat, aktiviti ‘ziarah korporat’ diteruskan ke Syarikat Sate Kajang Hj Samuri yang berlangsung di kilang memproses sate miliknya.

Program ini bertujuan untuk berkongsi rahsia kejayaan perniagaan disamping tidak melupakan kewajipan menunaikan zakat perniagaan. Ia juga dapat memberi ruang bagi kedua belah pihak untuk saling berkongsi pandangan, terutamanya berkaitan agihan zakat.

Syarikat Sate Kajang Hj Samuri telah menunaikan zakat perniagaan dan telah pun membuat caruman zakat melalui potongan gaji untuk100 orang kakitangannya.

Delegasi dari LZS diketuai oleh Ketua Sektor Dakwah dan Pemasaran LZS, Mohd. Syahril Zainol manakala Syarikat Sate Kajang Hj Samuri diketuai oleh Pengarah Urusannya, Pn. Norsham Dato’ Hj. Shamsuri.

Pada program tersebut, LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah untuk kegunaan surau kakitangan di kilang berkenaan.