ZIARAH ASNAF BERSAMA KORPORAT DAN MEDIA



Sabak Bernam-Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengadakan program Ziarah Asnaf Bersama Korporat dan Media bagi mendedahkan dan membolehkan mereka menyaksikan sendiri hasil usaha para asnaf zakat dalam usaha membebaskan mereka daripada kepompong kemisknan pada 7 Feb lalu di sini.

Program yang diadakan sempena Bulan Zakat Negeri Selangor itu adalah kali kedua dilaksanakan setakat ini yang mengumpulkan para pembayar zakat, iaitu pembayar korporat, agensi kerajaan dan juga syarikat swasta di samping wakil-wakil media.

Program yang disertai oleh 32 orang peserta telah dibawa melawat perkampungan Desa Ehsan Batu 23, Sungai Nibong iaitu penempatan berkelompok asnaf di samping mengunjungi projek ekonomi yang diusahakan oleh penerima zakat seperti bengkel jahitan dan kedai runcit.

Selain itu, mereka juga turut ditemukan dengan tokoh usahawan zakat, Mohd Tohid bin Sidek, 42 yang kini mengusahakan makanan ringan seperti kerepek sehingga kini telah mampu menjadi salah seorang pembayar zakat. Turut diziarah pada hari itu ialah Baitul Hasanah iaitu rumah anak fakir dan miskin kelolaan LZS (MAIS).

Bercakap kepada media, Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Tuan Hj. Ahmad Shahir Makhtar, menjelaskan bahawa program ini diharap dapat mewujudkan perhubungan yang baik di antara pembayar zakat, pihak pentadbiran zakat iaitu LZS (MAIS) dan juga para penerima zakat.

Sementara itu, salah seorang peserta, Haji Mohd Zaki Ibrahim daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad berkata, dengan adanya program tersebut ia dapat mengeratkan tali silaturrahim antara pembayar zakat, LZS (MAIS) dan penerima Zakat.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita dapat melihat sendiri keadaan para asnaf dan beramah mesra dengan mereka di samping menampakkan ketelusan LZS (MAIS) di dalam mengagihkan zakat,” jelas beliau lagi.