ZAKAT TELAH BANTU PESAKIT KULIT



Shah Alam — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Lembaga Zakat Selangor telah menghulurkan pelbagai bantuan zakat kepada  Muhammad Nazri Nuwis Abdullah yang merupakan asnaf Mualaf bernilai RM7,632 sejak April 2010 sehingga kini.

Bantuan yang diterima Muhammad Nazri merangkumi bantuan kecemasan, runcit, dermasiswa, bantuan hari raya dan perubatan. Manakala bantuan bulanan RM400 sebulan kepada Nazri akan disalurkan mulai September ini.

Bagi bantuan perubatan yang disalurkan kepada Nazri ia adalah berdasarkan tuntutan dan sehingga kini pihak MAIS telah memproses dua tuntutan pada Disember tahun lalu dan April lalu.

Bagaimanapun, MAIS telah memaklumkan dan menjelaskan kepada Nazri agar mengemukakan  laporan perubatan daripada pakar bagi memudahkan bantuan perubatan disalurkan secara bulanan.

Sehingga kini, Nazri gagal mengemukakan dokumen tersebut dan bantuan hanya diberikan berdasarkan tuntutan bil perubatan sahaja.

Sepanjang mengemukakan tuntutan, Nazri hanya melampirkan dokumen sokongan dari klinik swasta dan ia ternyata melanggar syarat-syarat permohonan bantuan perubatan yang memerlukan laporan daripada pakar.