ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM5.3 JUTA DARIPADA 25 SYARIKAT KORPORAT



SHAH ALAM, 20 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menerima zakat perniagaan daripada 25 buah syarikat berjumlah RM5,348,210.05. Majlis ini disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, bertempat di Wisma PKPS di sini.

SIRIM Berhad mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM1,401,175.00, diikuti SIRIM QAS International Sdn Bhd sebanyak RM934,372.10 dan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM746,295.78.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Triplc Ventures Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat sebanyak RM645,571.88, Bank Pembangunan Malaysia Berhad sebanyak RM400,000.00 dan SME Bank sebanyak RM370,00.00. Sementara SIRIM STS Sdn. Bhd. menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM255,862.00, CIMB Islamic Bank Berhad sebanyak RM150,000.00 dan PNSB Insurance Brokers Sdn. Bhd  menunaikan zakat perniagaan RM100,000.00

Dalam majlis yang sama, Zakat Selangor turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM432,770.79. Fatimah Najiyah Abdullah menerima bantuan pendidikan berjumlah RM289,550.00 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di MAHSA Universiti. Manakala Jaharatul Dini Karen Lee Abdullah turut menerima bantuan pendidikan  berjumlah RM49,260.00 bagi melanjutkan dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia. Kedua-dua mereka merupakan asnaf mualaf yang disantuni oleh Zakat Selangor.

Sementara itu, dua individu lagi menerima bantuan perubatan. Mereka ialah Ahmad Shuhaimi Abu Hassan yang merupakan asnaf fakir berdaftar dengan Zakat Selangor, menerima bantuan perubatan bagi rawatan dialisis berjumlah RM35,280.00 dan Faizalril Zainon menerima bantuan perubatan bernilai RM33,708.00 untuk rawatan anaknya yang menghadapi masalah paru-paru. Manakala, Ahmad Zabidi Sahar menerima bantuan baik pulih rumah bernilai RM24,972.79.

Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan bagi meraikan syarikat korporat yang menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ sepanjang tahun 2017. Zakat Selangor memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Untuk makluman pada tahun ini, sumbangan agihan yang diterima daripada program ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM10.7 juta dengan penyertaan daripada 30 buah syarikat korporat termasuk individu.

Serentak dengan itu, Zakat Selangor dengan kerjasama TV AlHijrah turut melancarkan program TV Kasihku yang akan mula bersiaran pada 26 Disember ini, setiap Selasa, jam 6.30 petang.

Hadir sama, Officer in Charge Zakat Selangor merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid dan Ketua Divisyen Kutipan Mohd Sabirin Mohd Sarbini.