ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM265 RIBU



SHAH ALAM, 12 Julai 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menerima zakat perniagaan dari dua syarikat berjumlah RM264,988.38 dalam satu Majlis Mesra Aidilfitri bertempat di Dewan Ar-Raha, Sekyen 7 di sini.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Selangor, Dato’ Alias Hamzah menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM154,360.38, manakala  Felda Global Ventures Berhad (FGV) diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi FGV, Dato’ Khairil Anuar Aziz menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM112,628.00. Pembayaran kedua-dua zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2016. Upacara penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dalam majlis yang sama, dua syarikat telah menyatakan persetujuan untuk menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM792,157.87. Mereka ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang menyumbangkan semula zakat sebanyak RM782,157.87 dan UEM Sunrise Berhad sebanyak RM10,000.00

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas. Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk termasuk asnaf mualaf, gharimin dan fisabilillah.

Selain itu, di majlis tersebut Zakat Selangor turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan media dan blogger yang selama ini memberi komitmen dan kerjasama membantu Zakat Selangor dalam menyebarluaskan dakwah zakat serta menyantuni asnaf di Selangor.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.