ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM16.4 JUTA



SHAH ALAM, 10 Mac 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM16,378,958.43 dari Lembaga Tabung Haji (TH) dan Bank Islam Malaysia Berhad yang diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini.

LTH diwakili Ketua Pegawai Operasi TH, Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani menyerahkan cek zakat perniagaan untuk negeri Selangor berjumlah RM15,130,379.28. Manakala, Bank Islam yang diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Sri Zukri Samat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,248,579.15. Pembayaran kedua-dua zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail danTimbalan Mufti Negeri Selangor, Dr. Anhar Opir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.