ZAKAT SELANGOR TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN PNB RM27 JUTA



SHAH ALAM, 2 Jun 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menerima zakat perniagaan daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM27,013,600 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid An Nur Temasya, Glenmarie di sini.

Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat berkenaan daripada Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 80 orang asnaf fakir, 185 orang asnaf miskin dan 121 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

DSC_1313

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.