ZAKAT SELANGOR SERAH BANTUAN RUMAH 



RAWANG, 19 Oktober 2017 – “Saya amat bersyukur apabila Lembaga Zakat Selangor memberi bantuan rumah kepada keluarga saya. Terima kasih kepada pengeluar zakat di Selangor membantu golongan seperti saya,” kata Mohd Saiful Haris Mohd Yusop, 40 tahun yang ditemui sewaktu program Penyerahan Kunci Rumah di sini hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Basir Hassan Basri.  Menurutnya, Zakat Selangor amat berterima kasih dengan keluarga ini. Hal ini disebabkan dengan adanya mereka, agihan zakat masih dapat diteruskan dan lebih ramai asnaf dapat disantuni.
Dalam program tersebut, warga kerja Zakat Selangor turut membantu menguruskan perpindahan dan mengadakan aktiviti gotong-royong di rumah keluarga ini.
Mohd Saiful merupakan asnaf fakir deerah Gombak menerima bantuan rumah kos rendah bernilai RM42,000. Sebelum ini, beliau pernah menerima bantuan kecemasan dan bantuan sewa rumah dari Zakat Selangor.
Beliau yang bekerja sebagai tukang urut telah mengalami kemalangan jalan raya serius pada tahun 2012 menyebabkan Mohd Saiful mendapat kecederaan kekal hingga menyukarkannya melakukan aktiviti harian. Isteri beliau, Siti Fatimah Md Roslan, 34 tahun turut membantu keluarga dengan bekerja sebagai tukang cuci. Selain itu, Mohd Saiful turut menanggung dua orang anak Orang Kelainan Upaya (OKU).