ZAKAT SELANGOR SANTUNI KELUARGA ZAHAYU



SHAH ALAM, 27 Januari 2017 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor berkenaan kisah tiga beranak yang menjadi tular di facebook baru-baru ini.

Hasil siasatan Zakat Selangor bersama penolong amil kariah, Bukit Hijau, Kuala Selangor mendapati Zahayu Jamil, 33 tahun dan suami serta empat orang anaknya menetap bersama dengan keluarga kakak iparnya di sebuah rumah pusaka. Suami Zahayu, Muriyadi Ismail sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, namun telah berhenti kerja pada Ogos 2016.

Untuk makluman, kakak ipar kepada Zahayu merupakan seorang balu yang mempunyai lima orang anak dan juga merupakan penerima bantuan Zakat Selangor.

Sebelum ini, keluarga Zahayu pernah menerima bantuan segera dari Zakat Selangor. Dalam masa yang sama, keluarga ini turut mendapat perhatian dan dibantu oleh Masjid Puncak Alam dan NGO ICare.

Prihatin dengan kesusahan yang dihadapi, keluarga ini telah didaftarkan sebagai asnaf miskin Zakat Selangor. Buat permulaan, bantuan segera disalurkan kepada keluarga Zahayu. Selain itu, bantuan kewangan bulanan sebanyak RM350 dan makanan bulanan akan disalurkan bermula Februari ini. Manakala bantuan lain yang bersesuaian akan disalurkan bergantung kepada keperluan dan syarat kelayakan.