ZAKAT SELANGOR SANTUNI ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAERAH PETALING RM1.2 JUTA



PUCHONG, 23 Februari 2018 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menyantuni seramai 130 orang asnaf fakir dan miskin daerah Petaling dengan menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM1,209,000.00 dalam satu Majlis Penyerahan Bantuan Keperluan Asasi Kepada Asnaf Fakir dan Miskin 2018 di sini.
Bantuan tersebut merupakan kesinambungan daripada bantuan lain yang telah diterima asnaf berkenaan sebelum ini, bertujuan memenuhi keperluan asasi asnaf zakat di Selangor. Ia meliputi bantuan sara hidup, makanan, perlindungan, perubatan dan pendidikan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.
Sehingga tahun 2017 Zakat Selangor telah menyantuni seramai 45,471 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor. Daripada jumlah tersebut, seramai 7,134 keluarga merupakan asnaf di daerah Petaling.
Amran bin Wahid, 48 menzahirkan rasa bersyukur atas bantuan yang diterima ini. 
“Alhamdulillah hari ini saya menerima bantuan keperluan asasi bagi asnaf.  Sebelum ini saya turut menerima bantuan sara hidup, bantuan makanan, bantuan pendidikan dan bantuan Hari Raya. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengeluar zakat di Selangor yang menunaikan zakat dan membantu orang seperti kami.”
Bagi Sabariah binti Ali, 51 pula berasa teruja dan bersyukur sebab terpilh bagi menerima bantuan keperluan asasi ini. 
Katanya, “Tambahan pula suami saya tidak sihat dan tiada pendapatan untuk perbelanjaan. Bersyukur sangat atas bantuan ini selain turut menerima bantuan sara hidup,  bantuan makanan dan persekolahan anak-anak. Jutaan terima kasih kepada pengeluar zakat yang prihatin agar  kami dapat teruskan kehidupan.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Tn Hj. Zulkurnain Bin Che Ali  dan Officer In Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid.