ZAKAT SELANGOR LANJUTKAN WAKTU PERKHIDMATAN 27 CAWANGAN



SHAH ALAM, 29 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor akan melanjutkan waktu perkhidmatan di 27 cawangan seluruh Selangor pada 29 hingga 30 Disember, bagi memberi peluang kepada masyarakat Islam menunaikan kewajipan berzakat sebelum berakhir 2017 ini.

Waktu perkhidmatan pada 29 Disember bermula pada 8.30 pagi hingga 8.00 malam, manakala pada 30 dan 31 Disember bermula pada 9.00 pagi hingga 8.00 malam.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah khidmat runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta dan juga bayaran zakat. Selain itu, kemudahan pembayaran menerusi kad kredit dan kad debit turut disediakan di cawangan.

Bagi mengelakkan kesesakan menunaikan zakat di cawangan, Zakat Selangor turut menyediakan kemudahan ‘Cashless ATM’ di empat cawangan iaitu di ibu pejabat Zakat Selangor, Kajang, Bangi dan Seksyen 14, Petaling Jaya.

Ia merupakan kemudahan yang disediakan melalui  rangkaian ‘Self Service Terminal’ (SST) yang membolehkan pengeluar zakat membuat pembayaran zakat. Melalui kemudahan ini, pengeluar zakat hanya perlu membuat pindahan wang menggunakan kad debit dari mana-mana bank dan melakukan transaksi di ‘Cashless ATM’ yang disediakan. Perkhidmatan ini percuma  tanpa melibatkan sebarang kos tambahan untuk urusan niaga yang dilakukan.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat melalui pelbagai kemudahan pembayaran lain yang disediakan. Ini termasuklah kemudahan pembayaran atas talian melalui ezakatpay dan perbankan internet.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.