ZAKAT SELANGOR IKTIRAF SUMBANGAN EJEN KUTIPAN DAN PENOLONG AMIL



SHAH ALAM, 12 April 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini mengiktiraf komitmen dan sumbangan ejen kutipan serta penolong amil yang membantu menyebarkan dakwah zakat sekali gus meningkatkan kutipan zakat di Selangor, dalam Majlis Penghargaan Zakat Selangor 2016.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Wisma PKPS di sini.

Pengiktirafan ini khusus untuk mereka terdiri daripada wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos dan penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT). Turut diraikan, syarikat-syarikat korporat yang merupakan pembayar zakat perniagaan dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di Zakat Selangor.

Sebanyak 14 anugerah disampaikan melibatkan Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik dan Anugerah Prestasi Komitmen dan Pengurusan Terbaik bagi tiga kategori iaitu kategori penolong amil IPT/IPIS, ejen perunding dan ejen kemudahan bayaran; Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik bagi tiga kategori iaitu kerajaan, badan berkanun dan swasta; Anugerah Pencapaian Zakat Perniagaan Terbaik (peratus peningkatan terbaik) dan Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik (komitmen terbaik).

Sementara itu, tiga anugerah khas turut disampaikan bagi menghargai komitmen syarikat yang menunaikan zakat di Zakat Selangor, di samping peningkatan prestasi yang ditunjukkan pada tahun 2016.

Anugerah Umar Al-Khattab (Kategori Potongan Gaji) diberikan kepada AirAsia Behad atas pencapaian kombinasi bayaran Skim Potongan Gaji (SPG) dan Pembayaran SPG Individu Tertinggi.

Manakala Koperasi Remisier Bumiputera Berhad merangkul Anugerah Muaz bin Jabal (Kategori Ejen Kutipan) atas prestasi peningkatan kutipan, bilangan pengeluar tertinggi dan komitmen terbaik yang ditunjukkan pada tahun 2016.

Bagi Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Kategori Zakat Perniagaan) diberi kepada TriPlac Berhad kerana komited menunaikan zakat di Zakat Selangor di samping penglibatan dalam menguruskan agihan semula 3/8.

Hadir sama, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.