ZAKAT SELANGOR BANTU KELUARGA ADIK MIRZAN



AMPANG, 13 Mei 2016 – Kisah viral seorang murid, adik Mirzan, 8 tahun yang terpaksa membawa beg plastik ke sekolah baru-baru ini telah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).

Adik Mirzan dan ibunya, Norfairuz Othman, 32 tahun bersama dua adiknya yang masing-masing berusia enam tahun dan satu tahun terpaksa tinggal di Masjid Ampang Hilir, Kuala Lumpur untuk berteduh disebabkan masalah melunaskan sewa bilik.

Untuk makluman, keluarga ini telah mula disantuni oleh Zakat Selangor pada 20 April lalu, apabila mereka menerima bantuan kecemasan. Keluarga ini turut memohon mendapat bantuan sewa rumah dan borang pemohonan turut diserahkan untuk dilengkapkan.

BeFunky Collage

Namun, keluarga ini telah pulang ke kampung halaman mereka di Johor dan proses permohonan tertangguh. Sehinggalah baru-baru ini telah kembali ke Selangor dan  terpaksa menumpang di masjid.

Melihat kepada keadaan terdesak keluarga Norfairuz, Zakat Selangor dan pemimpin masyarakat di situ segera menyantuni mereka dengan mendapatkan rumah sewa pada masa terdekat.

Buat permulaan, bantuan sebagai asnaf miskin disalurkan dengan membiayai deposit rumah sewa dan bayaran sewa bulanan. Selain itu, mereka juga akan terus dipantau oleh Zakat Selangor dan bantuan zakat dari semasa ke semasa akan disantuni mengikut keperluan dan kelayakan.

Semoga dengan bantuan Zakat Selangor dan masyarakat setempat ini dapat meringankan beban keluarga adik Mirzan.