ZAKAT SELANGOR ANJUR PROGRAM ‘JOM DERMA DARAH’



SHAH ALAM, 4 Oktober 2017 –  Lembaga Zakat Selangor dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) menganjurkan program ‘Jom Derma Darah’ sebagai salah satu aktiviti kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat bertempat di Presint Alami di sini hari ini.
Program yang julung kali diadakan mendapat sambutan memberangsangkan apabila lebih 80 warga kerja Zakat Selangor dan masyarakat setempat tampil menderma darah bagi membantu golongan yang memerlukan.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, Zakat Selangor selama ini menyantuni asnaf melalui skim bantuan zakat yang disediakan. “Bagaimanapun, kami mengambil peluang untuk membantu dengan cara yang agak ‘istimewa’ iaitu menderma darah. Ia sekali gus menyambut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sama-sama menampung kekurangan bekalan darah negara.”
Tambahnya, ini antara inisatif murni yang dianjurkan oleh Zakat Selangor bagi memupuk semangat bantu-membantu dalam kalangan warga kerja yang terlibat, Walaupun sumbangan ini nampak kecil, namun ini adalah hadiah Zakat Selangor untuk membantu mereka yang memerlukan. 
Sementara itu, salah seorang penderma, Mohd Khairul Anuar Musa berkata “Ini adalah kali ke-23 saya menderma darah. Kalau ikutkan saya memang telah ada jadual tetap dengan PDN untuk menderma darah.”
Manakala seorang penderma lain, Muhammad Nor,“ Ini merupakan sumbangan saya kepada masyarakat. Tidak semestinya kita kena sumbangkan dengan wang ringgit.”, katanya yang sudah kali kedua menderma darah.
Turut sama mendermakan darah, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid dan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Zaharuddin Salim.