ZAKAT RINGANKAN BEBAN HASNAH SEKELUARGA



BUKIT BERUNTUNG, 16 Jan 2013 – Keprihatinan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi cahaya baru kepada Hasnah Sanusi, 45 tahun apabila LZS tampil membantu beliau dan keluarganya setelah suaminya ditimpa musibah dan hilang mata pencarian.

Lantaran hilang tempat bergantung, beliau yang hanya bekerja sebagai tukang cuci terpaksa memikul tanggungjawab menanggung tujuh orang anak yang kini sedang membesar.

Atas keprihatinan LZS, maka bermula Januari 2013, Hasnah bakal menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 di samping bantuan persekolahan untuk anak-anak bernilai RM950.

“Saya bersyukur dengan bantuan zakat yang diberikan. Setidak-tidaknya bantuan ini dapat meringankan beban yang dihadapi sekarang ini. Insya-Allah, bantuan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya.” Ujar beliau sewaktu dikunjungi wakil LZS baru-baru ini di rumahnya.