ZAKAT MEMBANGUNKAN DESA IMAN



Allah SWT pernah menyatakan: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (al-Hujurat: 10)

Ayat di atas menjadi tangkal ajaib, agar penulis tegar menelusuri jalan berliku meredah kampung dan estet, bagi menuju ke sebuah daerah yang asing dan kesing. Di situlah, di sebalik kehijauan alam yang berlatar belakangkan kebiruan pergunungan, juga mengalir tenang Sungai kerling, terselitnya sebuah perkampungan yang aman dan tenteram.

Itulah sebuah kampung kecil yang diberi nama Desa Iman, yang berdiri kukuh hasil wang zakat. Di situlah, penulis bersama kira-kira 80 orang peserta Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA) menemui ertinya pengorbanan dan perjuangan, lewat temu bicara singkat bersama Ustaz Mohd. Zulkifli Dawam, 51 Penggerak Orang Asli di Desa Iman, pada 30 November 2011 yang lalu.

“Sebagai penggerak masyarakat Orang Asli, saya memang berusaha melunakkan hati mereka kepada Islam. Alhamdulillah, Orang Asli di sini yang berketurunan Suku Temuan sudah ramai yang memeluk Islam, termasuklah Tok Batin mereka. Ada kira-kira 12 keluarga muallaf di sini. Lalu, apa yang menjadi cabaran kepada saya ialah, bagaimana untuk menarik mereka agar memahami dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan.” Demikianlah secebis luahan Ustaz Zul kepada para peserta kala mengisahkan suka-duka usahanya menjadi penggerak di situ.

“Masyarakat orang Asli ini memang sukakan hiburan. Bagi mereka, dengan joget itulah peluang untuk mencari pasangan. Maka, kebijaksanaan perlu ada dalam usaha dakwah. Jika terlalu keras, lain pula jadinya. Misalnya, apabila sudah memeluk Islam, maka mereka perlu sedar batas-batas dalam pergaulan.” Tambah beliau lagi.

Lalu penulis sendiri teringat sewaktu mengikuti sebuah program bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah penempatan orang Asli beberapa ketika dahulu, bagi memikat hati mereka untuk hadir ke program, JAIS terpaksa memainkan lagu-lagu dangdut. Penulis awalnya merasa pelik; namun salah seorang kenalan menyatakan, hiburan itu adalah strategi. Mungkin strategi inilah juga kunci kejayaan dakwah Islamiyyah para Wali Songo di Pulau Jawa ratusan tahun dahulu, fikir penulis lagi.

Hakikatnya, berat mata memandang maka berat lagi bahu yang menyandang. Amanah yang ditanggung oleh Ustaz Zul bukanlah mudah. Inikerana, kedudukan Desa Iman Kuala Kerling yang jauh dari jalan besar, menyebabkan tidak ramai pihak pendakwah yang sudi menjengah. Jika tidak salah kiraan penulis, kami terpaksa mengharungi perjalanan lebih enam kilometer ke dalam kawasan hutan sebelum tiba ke desa berkenaan.

“Sedih juga hati saya, jika di penempatan lain, ramai pihak pendakwah, sama ada dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahu pun pertubuhan muallaf yang datang berkunjug. Tetapi di Desa Iman Kuala Kerling ini, amat jarang sekali. Mujurlah Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudi mengadakan program seumpama ini, maka setidak-tidaknya dapatlah ia mengembirakan para penghuni di Desa Iman ini.

“Misalnya pada sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, puas juga saya mencari-cari mana-mana pihak yang sudi menyedekahkan seekor lembu untuk dikorbankan. Sayangnya, hingga habis hari raya, seekor pun saya tak dapat.

“Surau pun agak jauh dari sini. Sebab itulah, saya terfikir juga untuk membina sebuah pentas terbuka siap berbumbung di bahagian hadapan Desa Iman ini. Nanti, jika ada sebarang program, sama ada nasyid, ceramah dan sebagainya, kita boleh adakan di situ.” Tambah beliau lagi dengan nada penuh harapan.

Hakikatnya, Desa Iman ini adalah sebuah penempatan berkelompok yang dibangunkan khusus untuk asnaf muallaf di Selangor. Di samping Desa Iman di Hulu Selangor ini, ada dua buah lagi penempatan muallaf, iaitu Desa Mansuriah, di Sepang dan Baitul Hidayah, di Hulu Langat. Kesemua penempatan ini dibina dengan wang zakat, demi menyediakan suasana yang lebih kondusif untuk para asnaf muallaf memulakan kehidupan beragama Islam.

Di samping LZS, Bahagian Pembangunan Insan, di bawah Majlis Agama Islam Selangor juga turut bertanggung jawab memantau keadaan. Surau juga telah dibaik pulih dan dilengkapi dengan prasarana yang lebih baik, cuma sayangnya ia agak jauh dari rumah penghuni. Sementara itu, Ustaz Zul sendiri merupakan penggerak masyarakat yang dititip khas oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi mengadakan pengisian dan memandu para muallaf ini demi menjalani kehidupan sebagai muslim yang sejati.

“Mungkin tuan-tuan dan puan-puan mempunyai idea lebih bernas untuk kemajuan desa ini, maka berikanlah kepada saya agar dapat saya realisasikan di sini. Puas sudah saya memerah minda, namun realitinya membangunkan manusia bukanlah mudah. Mudah-mudahan, Allah SWT memberkati usaha kita ini.” Tutup bicara beliau di petang yang dingin, setelah hujan berhenti membasahi bumi di Desa Iman, Kuala Kerling yang hening dan sunyi.

Nota: Mana-mana individu atau pertubuhan sukarela yang berminat mengadakan misi dakwah dan menyalurkan bantuan ke penempatan ini, silalah berhubungan dengan Ustaz Mohd. Zulkifli Dawam di talian 019-2735641.