ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM4.70



Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengumumkan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini 1427 H bersamaan 2006 M yang telah ditetapkan di Selangor kekal RM4.70.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa berkata bayaran itu berdasarkan dengan kadar penggunaan beras umat Islam di Selangor dengan nilai RM4.70 bagi setiap 2.7 kilogram, iaitu ukuran asas bagi penentuan zakat fitrah.

Katanya lagi, umat Islam di Selangor boleh mula membayar zakat fitrah bermula 1 Ramadhan ini melalui 2,100 amil yang telah dilantik oleh MAIS di seluruh Selangor. Orang ramai juga boleh membayar zakat fitrah di masjid, surau dan 22 kaunter LZS (MAIS).

Sementara itu, orang ramai juga boleh membayar di kaunter sementara zakat fitrah LZS (MAIS) di tujuh buah pasar raya iaitu Centre Point Klang, Kompleks PKNS Shah Alam, Giant Seksyen 13, Shah Alam, Jaya Jusco Bandar Utama, Giant Kelana Jaya, Jaya Jusco Klang dan Tesco Kajang bermula 2 hingga 22 Oktober dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.