ZAKAT BANTU 152 PELAJAR LANJUT PELAJARAN KE TIMUR TENGAH



Sabak Bernam–Seramai 152 orang pelajar menerima bantuan zakat iaitu tajaan dermasiswa zakat bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di Timur Tengah.

Mereka menerima di antara RM7,500 sehingga RM30,000 setahun bergantung kepada negara dan bidang pengajian yang diambil.

Daripada jumlah itu, 114 orang pelajar melanjutkan pengajian ke Mesir, 36 orang pelajar ke Jordan dan 2 orang ke Morocco meliputi pengajian islam, perubatan, qiraat, bahasa arab dan  muamalat. Pelajar ini turut menerima bantuan untuk membuat persediaan sebanyak RM1,000.00 seorang.

Sebelum mereka memulakan pengajian, mereka diwajibkan mengikuti kursus persediaan iaitu kursus bahasa dan motivasi selama sebulan. Kursus tersebut dijalankan bermula 11 Julai hingga 12 Ogos 2011 dan majlis perasmian penutup telah diadakan pada 13 Ogos yang disempurnakan oleh Dato’ Dr. Hasan bin Mohamed Ali, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam.

Penganjuran kursus ini adalah kerjasama Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pelajar-pelajar dijangka akan bertolak ke Timur Tengah pada bulan September 2011.