‘WHEEL 4 UMMAH’: KONVOI SAMBIL BERAMAL



SHAH ALAM, 17 November 2016 – Seramai 50 peserta terdiri daripada selebriti kumpulan nasyid tanah air, kumpulan permotoran dan pengeluar zakat menyertai konvoi pacuan empat roda ‘Wheel 4 Ummah’ anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini hari ini.

Konvoi yang bermula dari Shah Alam menuju ke Hulu Selangor ini bertujuan memberi pendedahan tentang ibadah zakat dengan lebih santai, di samping menyampaikan maklumat tentang aktiviti agihan zakat secara langsung kepada pengeluar zakat.

Dalam program tersebut, para peserta konvoi dibawa meninjau Majlis Penyerahan Agihan Bantuan Pendidikan bagi asnaf fakir dan miskin di daerah Hulu Selangor. Majlis ini merupakan program pertama diadakan bersempena dengan Program Agihan Bantuan Pendidikan, yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dalam majlis tersebut, seramai 257 orang asnaf fakir dan miskin di daerah Hulu Selangor menerima bantuan pendidikan bagi sesi persekolahan 2017 melibatkan agihan zakat sebanyak RM146,320.

Konvoi kemudian diteruskan ke rumah dua keluarga asnaf LZS di Hulu Bernam bagi projek amal gotong-royong dan ubah suai rumah. Mereka ialah keluarga Abas Anjong dan Muhammad Zairul Angus, masing-masing merupakan asnaf miskin di daerah Hulu Selangor yang telah disantuni oleh LZS.

Konvoi ‘Wheel 4 Ummah’ ini merupakan antara aktiviti yang diadakan bersempena dengan Kempen Zakat Di Hati yang berlangsung selama sebulan bermula 15 November hingga 15 Disember ini.

IMG-20161122-WA0008

Penganjuran Kempen Zakat Di Hati merupakan kali kelima diadakan, dilihat sebagai medium menyebarluaskan informasi berkaitan kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat di Selangor melalui pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat Islam di Selangor.