WACANA PEMIMPIN GALAK PIMPINAN MASYARAKAT BANTU DAKWAH ZAKAT



KAJANG, 29 September 2015—Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Wacana Pemimpin yang diadakan di Dewan Auditorium Dr. Zainuddin Jaafar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini.

Forum dihadiri seramai 200 orang wakil pimpinan masyarakat yang terdiri daripada Penghulu, Ketua Kampung, PAID Kajang, Nazir Masjid, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang.

290915 Wacana Pemimpin

Ia menampilkan dua orang panelis daripada LZS iaitu Eksekutif Dakwah Zakat, Ustaz Hamizul Abdul Hamid dan Pengurus Dakwah Agihan, Ustaz Abdul Samad Ibrahim bersama-sama  panelis dari Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Hulu Langat, Roziah Osman. Ustaz Shahafizan Sabarudin bertindak sebagai moderator sepanjang program.

Forum bertajuk ‘Bersama Kami Membantu Asnaf’ ini turut membincangkan berkenaan pengurusan agihan zakat di Selangor, selain wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerangkan peranan mereka sebagai sebuah organisasi yang menjaga hak serta kebajikan masyarakat.

Turut hadir Orang Besar Daerah Hulu Langat, YDH Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya, Dato’ Engku Abdul Jalil Abdul Rani dan Pengurus Daerah Hulu Langat, Ustaz Muhd Salahuddin Azmi Muhd Ali.