UMAT ISLAM WAJIB BAYAR ZAKAT PENDAPATAN SELAIN DARIPADA GAJI



Tarikh : 8/20/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 4 Ogos 2010 – Umat Islam di negeri Selangor yang mempunyai pendapatan selain daripada gaji diwajibkan membayar zakat ke atas pendapatan tersebut. Ini termasuklah hasil sewa rumah, royalti, wang pencen, gratuiti serta honorarium. Ia juga juga meliputi bayaran yang diterima daripada hasil kerja profesional dan bebas, seperti bayaran perkhidmatan konsultansi profesional, komisyen dan juga pendapatan tidak tetap seperti jualan insuran, unit amanah, jualan langsung dan sebagainya.

Sebelum ini kebanyakkan orang ramai hanya membayar zakat ke atas gaji sahaja kerana mereka tidak didedahkan dengan perkara ini. Sehubungan itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mempromosikan zakat pendapatan dalam konteks yang lebih luas melalui pelancaran Zakat Pendapatan dengan motto ‘Pelbagai lagi selain gaji’.

Zakat Pendapatan telah difatwakan wajib di Selangor pada tahun 2002 dan lebih tertumpu kepada zakat penggajian. Pada ketika itu, ia diterima baik oleh pekerja Islam di negeri ini dengan jumlah kutipannya meningkat dari tahun ke tahun. Dengan pelancaran ini, ia dilihat sebagai satu anjakan baru dalam konteks zakat pendapatan dan mampu mengubah kefahaman umat Islam, bahawa ia bukan sekadar zakat gaji semata-mata.

Sepanjang tahun 2009 zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi daripada keseluruhan kutipan zakat, iaitu sebanyak RM153.9 juta, 54.1 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat di Selangor yang berjumlah RM284 juta. Manakala, dari segi jumlah pembayar seramai 129,715 orang membayar zakat pendapatan pada tahun lepas daripada keseluruhan pembayar yang berjumlah 155,217 orang.Pada tahun ini LZS mensasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM300 juta dengan sasaran dalam segmen zakat pendapatan sebanyak RM155. 6 juta.

Majlis pelancaran hari ini disempurnakan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail. Turut hadir Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.