TUJUH SYARIKAT TUNAI RM6.1 JUTA ZAKAT: PKNS TERTINGGI



Shah Alam – Tujuh buah syarikat menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM6,110,880.52 kepada Lembaga Zakat Selangor (MAIS) pada 17 Disember dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang tertinggi (RM5,781,965.00).

Mufti Kerajaan Negeri Selangor, YAD Dato’ Setia Hj Mohd. Tamyes Hj. Abdul Wahid, telah mewakili LZS (MAIS) menerima cek pembayaran zakat tersebut.

Enam syarikat lain ialah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) (RM143,792.93), Sanicare Hygience Services Sdn. Bhd. (RM6,972.00), HNW Shoe Sdn. Bhd., (RM54,999.50), Telekom Malaysia Berhad (RM88,151.00), Koperasi Koswip Malaysia Berhad (RM25,000.00) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Jabatan Pertanian Berhad sebanyak RM10,000.00.

Di dalam majlis yang sama, seramai tiga orang individu dan dua buah organisasi telah menerima bantuan zakat yang berjumlah RM81,320.00. Mereka ialah Mohd. Rajif bin Jono bagi bantuan alat pendengaran anaknya berjumlah RM5,000.00, Azizah Said bagi bantuan rawatan dialisis sebanyak RM28,320.00 dan Md. Kamalrudin bin Jalil bagi bantuan hutang tunggakan rumah sebanyak RM8,000.00.

Sementara itu, Yayasan Kasih Sayang Malaysia (RM20,000.00) bagi sumbangan bantuan untuk mangsa gempa bumi di Sumatera dan Unit Muballighat JAIS bagi tujuan gerakan dakwah sebanyak RM20,000.00.

Dalam perkembangan lain, diunjurkan kutipan zakat perniagaan bagi tahun 2007 akan meningkat lebih 30 peratus berbanding tahun 2006. Ini berdasarkan kesedaran para korporat Muslim yang kian meningkat, seiring dengan inisiatif LZS (MAIS) melancarkan produk Zakat Niaga tidak lama dahulu.

Sehingga November 2007, sebanyak RM28.9 juta zakat niaga telah dikutip, berbanding RM 19.8 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu (kenaikan 45.9 peratus). Bilangan pembayar juga meningkat, iaitu 2,142 pembayar berbanding hanya 1,764 bagi tempoh yang sama pada tahun 2006 (kenaikan 21.4 peratus).