TUJUH IBU TUNGGAL TERPILIH SERTAI ‘MOBILE ENTREPRENUER’ LZS (MAIS)



Shah Alam – Tujuh orang ibu tunggal antara sembilan orang peserta telah terpilih di dalam projek perintis program usahawan bergerak ‘mobile entrepreneur’ yang telah dilancarkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 27 Jun di sini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah LZS (MAIS) Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa yang melakukan ‘flag off’ di dalam satu majlis ringkas.

‘Mobile entrepreneur’ merupakan program perniagaan bergerak menggunakan lori khas yang terpilih melalui bantuan zakat. Pemilihan peserta dilakukan dengan syarat tertentu untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja menyertai program ini.

Usahawan yang dikenal pasti didedahkan dengan pelbagai latihan dan kursus sebelum memulakan perniagaan.

Sebagai permulaan, LZS (MAIS) telah membelanjakan lebih RM300,000 sebagai mekanisme yang terbaik dalam membasmi kemiskinan dan yang lebih menarik ia digalas oleh tujuh ibu tunggal daripada sembilan peserta yang mengusahakan pelbagai perniagaan berasaskan makanan, minuman dan kuih tradisonal.

Sebelum itu, Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa menerima zakat daripada lapan syarikat korporat yang berjumlah RM943,021.52 iaitu Tenaga Nasional Berhad (RM569,004.80), Pos Malaysia Berhad Negeri Selangor (RM115,004.84), Maybank Islamic Banking (RM107,000) dan Bank Simpanan Nasional (RM51,657.04).

Turut menyerahkan zakat, Gabungan Sumber Tenaga Sdn. Bhd. (RM50,000), EONCAP Islamic Bank Berhad (RM38,008.39), Berani Guard Sdn. Bhd. (RM7,146.94) serta Commerce Takaful Berhad, (RM5,199.51).

Dalam majlis yang sama LZS (MAIS) turut menyerahkan bantuan zakat kepada enam orang penerima termasuk seorang pelajar, Amir Fathi Adnan yang menerima Dermasiswa RM100 ribu bagi melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Mesir.

Lain-lain penerima ialah, Nur Wirdah Hani Ahmad Kamal sebanyak RM21,000 bagi rawatan penyakit SLE, Mohd Roslan Aklan sebanyak RM28,320.00 (rawatan dialysis), Kamsan Mohd Salehan sebanyak RM20,000 (pembinaan rumah) dan surau Platinum al-Mawaddah sebanyak RM50,000.00.