TUAS 2016: SUNTIK MOTIVASI 300 USAHAWAN ASNAF



SHAH ALAM, 16 Ogos 2016 – Seramai 300 usahawan asnaf berhimpun bersempena dengan program Transformasi Usahawan Asnaf (TUAS) 2016 anjuran Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Program dirasmikan oleh Pengerusi TERAS merangkap ahli Jawatankuasa Operasi Agihan Zakat, Dato’ Ibrahim Md. Yusof.

Program ini mensasarkan usahawan asnaf zakat yang menerima bantuan ekonomi LZS dan berpotensi untuk keluar dari kategori asnaf.

Selain menyuntik motivasi dalam kalangan usahawan asnaf, ia  menjadi platform untuk usahawan ini membina jaringan perniagaan yang lebih luas di samping memberi pendedahan berkenaan peluang pembiayaan kewangan dan pengembangan perniagaan dari agensi-agensi lain.

Dalam program yang sama, tiga orang usahawan zakat yang merupakan bekas asnaf LZS menerima penghargaan atas kejayaan mereka dalam perniagaan. Mereka ialah Zamri Kasim, Rasman Nordin dan Sharifuddin Meon yang masing-masing menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka dalam perniagaan.

Pada tahun 2015, seramai 173 orang usahawan sukses telah terbentuk menerusi pakej bantuan ekonomi LZS dan bagi tahun ini, LZS menyasarkan seramai 200 asnaf bakal keluar daripada kategori asnaf fakir dan miskin.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Siti Maslamah Osman dan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.