TINDAKAN UNDANG-UNDANG ENGGAN BAYAR ZAKAT



Kuala Lumpur – Umat Islam di Selangor yang layak mengeluarkan zakat tetapi tidak berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang iaitu didenda atau dipenjarakan menerusi enakmen baru zakat yang akan dilaksanakan akan datang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang juga juga Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata enakmen baru itu akan menggunakan konsep seperti pembayaran cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan menetapkan bahawa sesiapa yang tidak membayar kepada LHDN dikenakan tindakan.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara LZS (MAIS) dengan Bumiputra Commerce Bank (BCB) dan Kumpulan EON Bank (EON Bank) di sini, pada 21 Mac.

“Kita sedang berbincang secara serius perkara ini dan sedang mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak dalam menggubal enakmen berkenaan. Sudah sampai masanya Selangor mempunyai enakmen zakat seperti itu,” jelas beliau.

Menurut beliau, konsep hukuman akan mengandungi konsep denda dan penjara dan ia akan diperhalusi sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri.

Pada majlis MoA itu, LZS (MAIS) diwakili Mohamad Adzib, BCB oleh Ketua di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tunku Ahmad Burhanuddin, manakala EON Bank oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Abdul Jamel Pawanteh.

Upacara menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zakri Husain yang mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md. Zin. Beliau turut merasmikan majlis pada hari itu.

MoA itu membolehkan BCB dan EON Bank memungut zakat bagi pihak LZS (MAIS) melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank tersebut.

BCB menawarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui perbankan internet iaitu www.channel-e.com.my untuk pembayar individu dan www.bizchannel.com.my untuk peniaga.

Manakala EON Bank menawarkan perkhidmatan pembayaran zakat melalui kaunter di semua 22 kaunter cawangannya di seluruh Selangor.