TIGA ASNAF TERIMA BANTUAN LORI



Tarikh : 1/12/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menyampaikan bantuan keusahawan kepada tiga orang asnaf miskin yang berpotensi dalam bidang perniagaan. Mereka menerima sebuah lori pengangkut (satu tan) dan modal pusingan untuk perniagaan mengedar gas memasak.

Bantuan telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa di sini pada 1 Mac kepada Osman Jailani, 43, Shahadan Che Yin, 40 dan Muhamad Abdullah, 41.

Untuk tujuan ini, LZS telah membelanjakan RM90,000 bagi tujuan wang pendahuluan pembelian lori dan modal pusingan.

Bantuan usahawan membekal gas memasak ini merupakan program perniagaan yang diberi kepada peserta terpilih melalui bantuan zakat. Pemilihan peserta dilakukan dengan syarat tertentu untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja menerima bantuan ini.

Usahawan yang dikenalpasti didedahkan dengan pelbagai latihan dan kursus sebelum memulakan perniagaan dan ia dilihat sebagai mekanisme yang terbaik dalam membasmi kemiskinan. Sebelum ini, LZS telah menyerahkan sepuluh buah lori kepada asnaf miskin yang dikenali sebagai program usahawan bergerak atau ‘mobile entrepreneur’.