TEMASYA SUKANEKA KANAK-KANAK MERIAH



Shah Alam – Lebih 120 orang kanak-kanak daripada taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak (PJKK) di bawah seliaan Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah memeriahkan program Temasya Sukaneka kali ketiga yang diadakan di Kelab Telekom Malaysia Selangor cawangan Shah Alam baru-baru ini.

Temasya ini telah berjaya menghimpunkan kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun dari lima taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak membabitkan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Qudwahtun Hasanah, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Al Kauthar, Taska Tunas Intelek, Tadika Al Hijrah dan Pusat Jagaan Islam Sri Permata.

Pelbagai acara yang telah dipertandingkan seperti pakaian beragam, pertandingan bayi comel, meniup belon dan sebagainya, termasuklah beberapa acara untuk ibu bapa yang hadir. Temasya juga turut dimeriahkan dengan gelagat kanak-kanak yang mengadakan pertunjukan pom-pom dan perbarisan.

Menurut Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar, program seumpama ini merupakan program tahunan yang menjadi daya penarik kepada ibu bapa untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti anak-anak. Di samping itu ia dapat menjalinkan hubungan silaturrahim di antara ibu bapa, pengusaha tadika/taska dan kakitangan LZS (MAIS) sendiri.