TAZKIA TERUJA INOVASI LZS



SHAH ALAM, 31 Jan 2012 – Seramai 29 orang delegasi dari Sekolah Tinggi Ekonomi Islam (STEI) TAZKIA, Bogor, Indonesia  mengunjungi Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini. Kunjungan ini diketuai Ibu Rochania Ayu Yunada, Ketua Program Studi, Akuntasi Islam dan mereka amat berminat untuk melihat dan mempelajari apakah kaedah yang dilakukan LZS dalam mendepani keperluan zaman.

Di dalam sesi soal jawab, para peserta yang terdiri daripada mahasiswa ini mengambil peranan aktif mengemukakan pelbagai persoalan mengenai pengurusan zakat. Misalnya, bagaimanakah LZS menjalinkan kerjasama bersama pihak pemerintah, sehingga mampu menggerakkan usaha meningkatkan lebih ramai pembayar zakat.

Turut mendapat perhatian ialah, bagaimanakah LZS menyediakan pelan bertindak bagi mengangkat martabat penerima zakat, khsuusnya dalam menjana asnaf zakat sebagai usahawan.

Tertarik dengan pelbagai inovasi di LZS, pihak TAZKIA berhasrat untuk menghantar beberapa orang pelajarnya bagi menjalani latihan praktikum di LZS. Mereka juga berminat menjalinkan pelbagai kerjasama, khususnya menerokai pelbagai perkara baharu mengenai zakat demi manfaat ummah.