TAKSIR & TUNAI ZAKAT HARTA: CAWANGAN ZAKAT SELANGOR DIBUKA 7 HARI SEMINGGU SEPANJANG DISEMBER



SHAH ALAM, 13 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor menyarankan masyarakat Islam di Selangor mentaksir zakat harta individu secara terperinci.

Sehubungan itu bagi memudahkan masyarakat melaksanakan taksiran dan seterusnya menunaikan kewajipan zakat harta, Zakat Selangor telah membuka kesemua 27 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan Disember ini.

Waktu operasi seluruh cawangan bermula dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja. Manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan Zakat Selangor dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Zakat Selangor turut melanjutkan waktu operasi sehingga 8 malam bermula pada 29 Disember hingga 31 Disember ini. 

Selain taksiran zakat harta, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, bayaran zakat serta melaksanakan urusan permohonan agihan zakat. Cawangan Zakat Selangor turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit Islamik dan kad debit.

Selain daripada cawangan Zakat Selangor, pembayaran zakat juga boleh dibuat dengan mengunjungi 13 kaunter zakat IPT yang dilantik. Kaunter tersebut terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). 

Kaunter IPT lain termasuklah di UNITAR International University, Cyberjaya Universitiy College of Medical Sciences, Universiti Multimedia (MMU), Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Selangor (UNISEL), Management Science University (MSU) dan Universiti Teknikal MARA Sdn Bhd.

Zakat Selangor berharap dengan perkhidmatan cawangan tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2017.