SULTAN SELANGOR TITAH TUNAI ZAKAT DI ZAKAT SELANGOR



PETALING JAYA, 25 Jun 2016 – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan umat Islam di Selangor menunaikan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) yang telah diberi tanggungjawab mengutip zakat dan mengagihkannya kepada asnaf yang layak dan mengikut syarak.

Dalam titah ucapannya sempena Majlis Berbuka Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada Asnaf di Masjid 51A, “Beta tidak berkenan umat Islam di negeri Selangor ini membayar zakat terus kepada asnaf tanpa melalui Zakat Selangor kerana dikhuatiri akan berlaku ketidakadilan kepada asnaf yang lain dan juga boleh menimbulkan kekeliruan.”

Tambahnya, LZS adalah sebuah organisasi yang telus di mana laporan tahunannya akan diaudit dan diumumkan kepada orang ramai secara terperinci mengenai jumlah kutipan yang diterima dan juga agihan yang dibuat setiap tahun. Sehubungan dengan itu, baginda menyeru supaya masyarakat tidak ragu-ragu mengeluarkan zakat kepada Zakat Selangor.

“Beta menyeru orang ramai agar turut bekerjasama dengan LZS untuk mengenal pasti dan menyalurkan maklumat tentang asnaf yang benar-benar layak menerima wang zakat supaya tindakan segera dapat diambil,” titah baginda.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 330 orang asnaf fakir dan miskin serta 150 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.