SULTAN SELANGOR RASMIKAN BAIT AL-MAWADDAH



SHAH ALAM, 27 September 2016 – Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj merasmikan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor dikenali Bait Al-Mawaddah di Jalan Kebun, Seksyen 30, di sini hari ini

Bait Al-Mawaddah bermaksud Rumah Kasih Sayang dibina oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di atas tanah wakaf seluas 1.501 ekar milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kos pembinaan sebanyak RM3 juta.

Ia merupakan salah satu usaha LZS menyantuni golongan warga emas dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Selangor yang hidup sebatang kara atau mempunyai waris, namun tidak berkemampuan untuk menjaga. Melalui pusat jagaan ini, warga emas diberikan tempat perlindungan yang selesa, lebih teratur dan dilengkapi prasarana sempurna.

Dilengkapi dengan 26 buah bilik yang mampu menempatkan sehingga 52 orang penghuni pada satu-satu masa, Bait Al-Mawaddah turut menyediakan kemudahan klinik, bilik fisioterapi, surau, bilik kuliah, dewan makan dan taman serta landskap untuk para penghuninya.

Berkonsepkan Baiti Al-Jannati (rumahku Syurgaku), pusat jagaan ini menekankan enam aspek utama iaitu membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelektual, memastikan penjagaan kesihatan, menghidupkan suasana penghayatan Islam, keselesaan, dan dipenuhi suasana penyayang serta ukhuwah sesama penghuni.

Pada masa ini, Bait Al-Mawaddah menempatkan seramai 36 orang warga emas lelaki dan wanita yang berusia 60 tahun ke atas. Sebelum ini, LZS telah menubuhkan Rumah Orang Tua Darus Salamah di Tanjong Karang yang merupakan pusat jagaan bagi warga emas wanita.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Daroyah Alwi.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Husin Mohd Ali.

DSC_9093

DSC_9160

DSC_9201