SULTAN SELANGOR PERKENAN TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN PNSB DAN MENYAMPAIKAN BANTUAN HARI RAYA KEPADA ASNAF FAKIR, MISKIN, MUALAF DAN ANAK YATIM



HULU LANGAT, 17 Julai 2013 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin IdrisShah Alhaj berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM435,121.72 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Al-Azim, Pandah Indah di sini hari ini.

PNSB yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Omar menyerahkan zakat perniagaan tersebut bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Sementara itu, pada majlis yang sama, DYMM Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 143 orang asnaf fakir, 157 orang asnaf miskin, 184 orang anak yatim serta 100 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM400 setiap seorang, manakala anak yatim RM100 seorang.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa. Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Marzuki Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Leave a Reply