SULTAN SELANGOR PERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT RM7.79 JUTA SERTA SERAH SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR MISKIN, ANAK YATIM DAN MUALAF



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan berjumlah RM7,797,999.71 daripada tiga anak syarikatkerajaan negeri Selangor, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) serta Worldwide Holdings Berhad (WHB). Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan menerima bayaran zakat berkenaan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakat di Masjid Negeri dekat sini.

PKNS menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,391,721,02, diikuti PNSB berjumlah RM2,041,366.71, manakala WHB pula sebanyak RM1,364,912.00. PKNS dan PNSB menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2011, manakala WHB pula bagi tahun 2012. PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Haji Omar, PNSB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Omar, manakala WHB diwakili Pengerusi, Dato’ Mohd Arif Ab. Rahman.

Sementara itu pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 100 orang asnaf fakir, 100 orang asnaf miskin, 100 orang anak yatim serta 100 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM400 setiap seorang, manakala anak yatim RM100 seorang.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Marzuki Hussin serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.