SULTAN SELANGOR PERKENAN SAMPAIKAN SUMBANGAN BANTUAN HARI RAYA



SHAH ALAM, 30 Jun 2014 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Rayaberjumlah RM266,000.00 kepada 668 orang asnaf fakir, miskin, mualaf dan anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM249,000 diagihkan kepada 498 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang.  Manakala RM17,000.00 pula diserahkan kepada 170 orang anak yatim dengan sumbangan sebanyak RM100 seorang.

Pada tahun ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM23,579,080.00 bantuan zakat kepada 32,843 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan Ramadan dan Hari Raya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7,460,050.00 diperuntukkan kepada 10,144 keluarga asnaf fakir. Manakala 22,699 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM16,119,030.00. Setiap keluarga akan menerima bantuan zakat di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.