SULTAN SELANGOR LANCAR BUKU ‘IBADAT ITU MUDAH’



Shah Alam – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan melancarkan buku Ibadat Itu Mudah: Bimbingan Untuk Pesakit, di Majlis Berbuka Puasa dan Agihan Ramadan 1428 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 14 September.

Buku berkenaan diterbitkan oleh LZS (MAIS) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Insan MAIS yang memfokuskan kepada kaedah menunaikan ibadah bagi umat Islam yang sedang menjalani rawatan agar tidak menjadikan kesakitan sebagai alasan untuk tidak menunaikan ibadat.

Turut dimuatkan ialah cara berwuduk bagi pesakit, bertayamum, cara solat dalam keadaan sakit termasuklah juga aspek pengurusan dan solat jenazah. Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut dengan harga RM7.00 senaskhah.

Pada majlis itu juga, Sultan Selangor turut meraikan seramai 150 orang fakir dan miskin, 100 orang saudara baru serta 100 orang anak-anak yatim. Mereka masing-masing menerima saguhati Hari Raya sebanyak RM100 seorang.

Sementara itu, berucap kepada khalayak, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata sebanyak RM6.6 juta telah diagihkan kepada 9,452 orang fakir dan miskin sempena Ramadan pada tahun ini. Setiap fakir dan miskin menerima dari jumlah RM500 hingga RM1000 setiap keluarga, bergantung kepada jumlah tanggungan.

Di samping itu, beliau juga turut mensasarkan kenaikan kutipan zakat kepada RM180 juta berbanding RM160 juta pada tahun lalu. Kutipan zakat fitrah juga dijangka akan meningkat kepada RM12.2 juta pada tahun ini berbanding RM9.8 juta pada tahun lalu.