SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA ZAKAT BANK RAKYAT: SERAH RM3.6 JUTA UNTUK NEGERI SELANGOR



SHAH ALAM, 21 Jun 2010 – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaan berjumlah RM3,682,611.00 bagi tahun kewangan 2009 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat diserahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Dato’ Aini Taib. Bayaran adalah berdasarkan bilangan pendeposit institusi berkenaan di Selangor dan merupakan jumlah zakat yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.Secara keseluruhannya Bank Rakyat menunaikan zakat berjumlah RM35.3 juta bagi tahun kewangan 2009 berbanding RM33.4 juta pada tahun sebelumnya.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Pemangku Penolong Pengurus Besar Perancangan Strategik Bank Rakyat, Baharom Embi.