SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT RM4.1 JUTA DAN SERAHKAN SUMBANGAN KEPADA FAKIR MISKIN, MUALAF DAN ANAK YATIM SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT



KLANG, 24 Jun 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM4,148,035.35 di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Umariah, Kampung Perepat, Kapar dekat sini hari ini. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat berkenaan daripada Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Ir. Mohd Azim Dato’ Hj. Yusof, bagi menunaikan zakat untuk tahun kewangan 2014.

Turut diraikan di majlis berkenaan, ialah 97 orang asnaf fakir, 210 orang asnaf miskin, 150 orang asnaf mualaf dan 150 orang anak yatim yang kesemuanya menerima sumbangan RM500 setiap seorang dan bagi anak-anak yatim pula RM100 seorang.

Pada tahun ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM30,778,900 bantuan zakat kepada 41,568 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,400 keluarga asnaf fakir menerima bantuan zakat berjumlah RM8,632,700. Manakala 30,168 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM22,146,200. Setiap keluarga akan menerima bantuan zakat di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.

Turut hadir dalam program tersebut, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.

LZS_4510