SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PKNS DAN WORLDWIDE RM5.4 JUTA



SHAH ALAM, 11 Julai 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan berjumlah RM5,408,242.84 daripada dua anak syarikat kerajaan negeri Selangor, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB). Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat berkenaan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri dekat sini.

PKNS yang diwakili Pengurus Besarnya, Othman Haji Omar menunaikan zakat perniagaan bagi PKNS dan anak-anak syarikatnya sebanyak RM4,025,180.84. Manakala WHB diwakili Pengerusinya, Dato’ Noordin Sulaiman menunaikan zakat perniagaan bagi WHB dan anak-anak syarikat sebanyak RM1,383,062.00. Pembayaran zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Marzuki Hussin serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.