SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM8.8 JUTA DAN SERAH SUMBANGAN TABUNG KEBAJIKAN PERUBATAN HOSPITAL RM1.8 JUTA SEMPENA SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT



PETALING JAYA, 13 Jun 2017 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada empat buah syarikat berjumlah RM8,845,631.62 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Ara Damansara di sini.

Empat syarikat tersebut ialah Kumpulan DRB-Hicom Berhad yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Sri Syed Faisal Albar menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM5,512,205.62 dan diikuti Universiti MAHSA yang diwakili Canselornya, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi mengeluarkan zakat sebanyak RM1,310,000.

Manakala, Jakel Trading Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,023,426 dan Sime Darby Property Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Kumpulan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM1,770,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Hospital di 17 buah hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Azman Abu Bakar.

DSC_3723

Sumbangan tersebut bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Hospital berkenaan ialah Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM300,000 diikuti Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima RM200,000. Sementara Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara pula menerima sumbangan zakat berjumlah RM150,000.

Manakala bagi Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kajang masing-masing menerima sumbangan zakat berjumlah RM100,000.

Sementara itu, Hospital Rehabilitasi, Cheras, Hospital Putrajaya, Hospital Shah Alam dan Pusat Perubatan UITM turut menerima sumbangan zakat berjumlah RM50,000. Hospital lain yang mendapat sumbangan termasuklah Institut Kanser Negara yang menerima RM30,000, Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Bharu masing-masing menerima RM20,000.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 150 orang asnaf fakir dan miskin serta 114 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali.