SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM15.2 DAN SERAH SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT



SHAH ALAM, 29 Mei 2017 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat berjumlah RM15,812,352.39 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri dekat sini hari ini.

Lima syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraida Mohd Yusof menunaikan zakat perniagaan bagi PKNS dan anak-anak syarikatnya sebanyak RM5,072,281.86 dan diikuti PLUS Malaysia Berhad yang diwakili Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail mengeluarkan zakat sebanyak RM3,632,244.18.

Manakala, UMW Holdings Berhad yang diwakili Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3,459,673.50, Worldwide Holdings Berhad yang menyerahkan zakat perniagaandnya melalui Dato’ Noordin Sulaiman dengan jumlah zakat sebanyak RM2,435,295.00 dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ahmad Omar yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,212,857.85. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan ini bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 61 orang asnaf fakir, 229 orang asnaf miskin serta 120 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

 

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali.