SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM12.5 JUTA 



SHAH ALAM, 19 Jun 2015 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM12,472,408.04 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri dekat sini hari ini.

Empat syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Azlan Md. Alifiah menunaikan zakat perniagaan bagi PKNS dan anak-anak syarikatnya sebanyak RM5,145,535.16, diikuti PLUS Malaysia Berhad yang diwakili Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Noorizah Abdul Hamid menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3,133,031.00 dan UMW Holdings Berhad yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,952,335.00 diwakili oleh Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Manakala Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ahmad Omar yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,241,506.88. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan ini bagi tahun kewangan berakhir 2014.

Turut hadir dalam program tersebut, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.

LZS_4370