SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM11.7 JUTA DAN SERAH SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT



SHAH ALAM, 15 Jun 2017 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM11,716,338.35 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini.

Empat syarikat tersebut ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,714,048 dan diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diwakili Pengurus Besar Negeri (Selangor) Bahagian Pembahagian TNB, Dato’ Mohd Zahir Md. Nor mengeluarkan zakat sebanyak RM2,899,290.35.

Manakala, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,505,000 dan Seriemas Development Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Salem Kailany menunaikan zakat berjumlah RM1,598,000.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 252 orang asnaf fakir dan miskin serta 120 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali.