SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN KDEB DAN RHB ISLAMIC BANK SERTA SAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA PELAJAR ASNAF KUIS DAN MUALAF



BANGI, 30 Julai 2013 – Sultan Selangor, SultanSharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM936,454.77 daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan RHB Islamic Bank Berhad di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), dekat sini.

KDEB yang diwakili Presidennya, Suhaimi Kamaralzaman menunaikan zakat perniagaan bagi KDEB dan anak-anak syarikatnya sebanyak RM826,454.77. Manakala, RHB Islamic Bank Berhad diwakili Pengarahnya, Datuk Faisal Siraj menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM110,000.00. Pembayaran kedua-dua zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Sementara itu pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 37 orang pelajar fakir, 115 orang orang pelajar miskin dan 100 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM400 setiap seorang.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Marzuki Hussin.