SULTAN SELANGOR BERKENAN SERAH SUMBANGAN ZAKAT RM1.8 JUTA KEPADA TABUNG KEBAJIKAN PERUBATAN HOSPITAL 



SHAH ALAM, 19 Jun 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM1,770,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Hospital di 17 buah hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Azman Abu Bakar dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri di sini.

Sumbangan tersebut bertujuan meringankan bebanan pesakit yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital. Hospital berkenaan ialah Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM300,000 diikuti Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima RM200,000. Manakala  Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Institut Jantung Negara pula menerima sumbangan zakat berjumlah RM150,000 diikuti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kajang menerima sumbangan berjumlah RM100,000.

Sementara itu, Hospital Rehabilitasi, Cheras, Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan UITM dan Hospital Shah Alam turut menerima sumbangan zakat berjumlah RM50,000. Hospital lain yang mendapat sumbangan termasuklah Institut Kanser Negara yang menerima RM30,000, Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Bharu masing-masing menerima RM20,000.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.