SULTAN SELANGOR BERKENAN SAMPAIKAN SUMBANGAN ZAKAT KEPADA KELUARGA WIRA MISI LAHAD DATU



SHAH ALAM, 12 Julai 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan zakatkepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), masing-masing berjumlah RM100 ribu untuk disalurkan kepada keluarga perajurit yang terlibat di dalam misi keselamatan dan keamanan di Lahad Datu, Sabah bersempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan tersebut kepada ATM yang diwakili Timbalan Pengarah Operasi KAGAT, Kolenal Mohamad Saodi Kasim untuk disalurkan kepada Tabung Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT). Sementara PDRM pula diwakili Pemangku Ketua Polis Negeri Selangor, SAC Dato’ A. Thaiveegan menerima sumbangan untuk disalurkan kepada Tabung Kebajikan PDRM.

Di samping itu, nasib tiga keluarga anggota PDRM yang terkorban dan merupakan rakyat Selangor turut diberikan perhatian khusus, apabila LZS menyalurkan bantuan pendidikan tinggi untuk anak-anak dan keluarga mereka.

Tiga ahli keluarga wira negara yang hadir menerima sumbangan tersebut ialah isteri kepada Allahyarham Superitenden Ibrahim Lebar, Rosiah Dahlan; isteri Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud, Nurunnisa Abu Bakar; dan bapa kepada Allahyarham Koperal Azrul Tukiran, Tukiran Ahmad.

Dalam perkembangan lain, di majlis yang sama Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM2 juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM), yang diwakili Pengerusi Majlis UIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor bertujuan untuk membangunkan kampus  UIM.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail, Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Marzuki Hussin dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Leave a Reply