SULTAN SELANGOR BERKENAN SAMPAIKAN SUMBANGAN RAYA KEPADA ASNAF FAKIR, MISKIN, MUALAF DAN ANAK YATIM LEBIH RM250 RIBU



SHAH ALAM, 19 Jun 2015 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya berjumlah RM251,200 kepada 616 orang asnaf fakir, miskin, mualaf dan anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM237,000 diagihkan kepada 474 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang.  Manakala RM14,200 pula diserahkan kepada 142 orang anak yatim dengan sumbangan sebanyak RM100 seorang.

Pada tahun ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM30,778,900 bantuan zakat kepada 41,568 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,400 keluarga asnaf fakir menerima bantuan zakat berjumlah RM8,632,700. Manakala 30,168 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM22,146,200. Setiap keluarga akan menerima bantuan zakat di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.