SULTAN BERKENAN LANCAR BZNS 1429H



Banting – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan untuk melancarkan Bulan Zakat Negeri Selangor (BZNS) di Masjid Jame’ Al-Ehsani, serentak dengan pelancaran Ma’al Hijrah 1429 Hijrah pada 10 Januari.

Titah ucapan Baginda Sultan Selangor telah dibaca oleh adinda Sultan Selangor, Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

BZNS adalah program tahunan LZS (MAIS) dan pada tahun ini diadakan dari 10 Januari sehingga 7 Februari 2008 dengan pengisian pelbagai program menarik. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan menyebarluaskan lagi maklumat kutipan serta kefahaman agihan zakat di kalangan umat Islam di negeri Selangor.

Bertepatan dengan tema ‘Zakat Menjana Ummah Gemilang’, pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang bulan Muharam ini. Di antaranya ialah Ziarah Media, Kaunter Mobil Zakat, Malam Sejuta Barakah, Simposium Usahawan Asnaf Zakat, Jom Berkat Sihat dan penyerahan Desa Kasih YBK kepada LZS (MAIS).

Turut dirancang ialah Karnival Tani, Perasmian Pusat Komuniti Asnaf Sungai Besar, Perasmian Pusat Dialisis LZS (MAIS) Sungai Besar, Persidangan Meja Bulat Zakat, Malam Kesenian Islam, Futsal Amal dan Perasmian Baitul Hasanah Kuala Selangor.

Sementara itu dalam majlis yang sama juga LZS (MAIS) turut menyampaikan sumbangan kepada lima NGO iaitu Jemaah Islah Malaysia cawangan Selangor, PERKIM Bahagian Selangor, Al-Hidayah, MACMA cawangan Selangor dan ABIM negeri Selangor.

Sumbangan sebanyak RM50,000 untuk setiap pertubuhan itu adalah sumbangan bagi aktiviti dakwah tahun 2008

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Tarmedi Omar; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, YAD Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa; Mufti Negeri Selangor S.S Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.