STATUS 15,789 KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN LZS DIKEMAS KINI



KUALA LANGAT, 9 November 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) giat menjalankan program ‘Task Force’ bagi menyemak semula bantuan zakat bagi 15,789 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali yang ditemui sewaktu program berlangsung, operasi turun padang ini bertujuan untuk menyemak status terkini keluarga asnaf fakir dan miskin agar bantuan zakat yang disalurkan bertepatan dengan keperluan sesebuah keluarga.

DSC_9427 copy

Operasi ini memfokuskan kepada penerima bantuan LZS bagi kewangan dan makanan bulanan, sewa rumah, perubatan dan Hari Raya. Ia telah diadakan sejak awal bulan September lalu dan mendapat kerjasama daripada penolong amil kariah. Melalui operasi ini, semakan dan siasatan terus ke rumah asnaf yang telah dikenal pasti dijalankan di setiap lokasi.

“Siasatan yang dilaksanakan ini berdasarkan maklumat pada borang asnaf fakir dan miskin. Semakan status terkini akan dikemas kini bagi menilai sama ada pendapatan seisi keluarga asnaf ini masih di bawah haddul kifayah (garis minimum kecukupan). Ini bagi memastikan penyaluran bantuan zakat untuk tahun 2017 mengikut keperluan dan syarat kelayakan sesebuah keluarga.”

Program task force dijangka akan berakhir pada 24 November ini membabitkan 89 siri di seluruh Selangor.

Dalam perkembangan sama, LZS membawa pihak media mengikuti operasi task force yang diadakan di daerah Kuala Langat. Operasi yang melibatkan 168 keluarga asnaf fakir dan miskin ini diadakan selama dua hari bermula 8 November.